Pendekatan Matematik bagi Usaha Pemuliharaan yang Bertujuan Memodelkan Perubahan Populasi Penyu Laut Terancam di Chagar Hutang, Malaysia
Mathematical Approach for Conservation Initiatives to Model Population Dynamics of Endangered Sea Turtles in Chagar Hutang, Malaysia
DOI:
https://doi.org/10.37934/sijasz.2.1.116bKeywords:
Endengered species, biological diversity, destruction, climate changeAbstract
Aktiviti manusia seperti pembandaran, perindustrian, dan pertanian secara besaran-besaran seperti penanaman berputar sering membawa kepada kemusnahan habitat, perubahan iklim, dan penggunaan berlebihan sumber semula jadi. Hal ini juga membuatkan spesies terancam menghadapi risiko kepupusan. Pemeliharaan spesies terancam adalah penting bukan sahaja untuk nilai intrinsiknya tetapi juga untuk mengekalkan ekosistem dan kepelbagaian biologi. Usaha pemuliharaan yang berkesan adalah penting untuk mencegah kehilangan spesies berharga ini dan memulihkan populasi mereka ke tahap mampan. Penyu adalah salah satu spesies terancam yang menghadapi cabaran kepupusan di Malaysia, terutama di Teluk Chagar Hutang, Pulau Redang yang terletak di luar pantai negeri Terengganu, pantai timur Semenanjung Malaysia. Kajian ini menggunakan model matematik untuk membimbing inisiatif pemuliharaan bagi spesies terancam melalui kajian perubahan populasi penyu dalam tempoh masa tertentu. Penyelidikan terdahulu menunjukkan ancaman segera kepupusan penyu laut, disokong oleh bukti penurunan populasi penyu laut di Malaysia. Untuk menangani masalah ini, kajian ini mencadangkan sebuah model matematik yang dirumus sebagai satu sistem persamaan pembezaan biasa berdasarkan pandangan daripada kajian terdahulu. Kajian ini menggunakan dua kaedah berangka yang berkesan iaitu kaedah Runge-Kutta Tertib ke-4, dan kaedah Beza Terhingga, untuk menyelesaikan model matematik yang dirumus. Penemuan kajian menunjukkan bahawa di bawah keadaan tertentu, kedua-dua kaedah berangka yang digunakan berfungsi dengan cemerlang dalam menyelesaikan model matematik dengan menunjukkan perbezaan yang minimum dalam penyelesaian mereka. Model ini juga mengenal pasti parameter yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan dalam ekosistem dan untuk memastikan populasi telur penyu laut dan anak penyu di Chagar Hutang berada dalam keadaan sederhana sambil mengurangkan kemungkinan kepupusan dan mencapai keseimbangan jangka panjang bersama pemangsa popular. Kajian mensimulasikan model di bawah keadaan ini dan membincangkan hasilnya melalui plot siri masa dan rajah potret fasa.
